
SEREMBAN, 12 Februari – Dua kes pertama berkaitan pembuangan sisa pepejal di Negeri Sembilan telah dibicarakan di Kompleks Mahkamah Seremban pagi tadi, melibatkan dua lelaki
tempatan berusia lewat 20-an dan 30-an.
- Dua lelaki didakwa dan mengaku bersalah membuang puntung rokok di tempat awam di Terminal Bas Nilai.
- Mereka dikenakan denda RM600 setiap seorang di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
- Akta membolehkan denda maksimum RM2,000 atau perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam dalam enam bulan.
- 111 kes pembuangan sisa pepejal dikesan negeri ini; orang ramai dinasihatkan menjaga kebersihan dan kelestarian alam.
Mereka ditahan ketika Penguatkuasa SWCorp menjalankan pemantauan dan operasi sampah kecil pada 4 Januari lalu di Terminal Bas Nilai.
Kedua-dua tertuduh didakwa atas kesalahan membuang puntung rokok di tempat awam dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Kamil Nizam.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 7(1)(a) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000.
Selain itu, mahkamah turut mempunyai kuasa mengenakan perintah khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam dalam tempoh enam bulan.
Beliau turut memberitahu sebanyak 111 kes dikesan di seluruh negeri melibatkan 103 orang tempatan dan selebihnya warga asing.
Setakat ini sebanyak 17 kes telah mendapat tarikh perbicaraan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuang sisa pepejal sewenang-wenangnya, khususnya di tempat awam, bagi memastikan kebersihan persekitaran serta kelestarian alam sekitar terus terpelihara.