
KUANTAN, 18 Februari – Proses bedah siasat jenazah lima sekeluarga yang ditemui maut di Taman Cerating Damai, semalam selesai dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, kira-kira 2.30 petang tadi.
- Bedah siasat jenazah lima sekeluarga di HTAA selesai sekitar 2.30 petang.
- Jenazah termasuk dua anak, ibu dan pasangan suami isteri dituntut waris pada 2.54 petang.
- Semua jenazah dibawa ke Masjid Cherating untuk mandi, kafan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cherating.
- Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai membunuh isteri, ibu dan dua anak sebelum membunuh diri.
Proses bedah siasat hari ini melibatkan dua anak suspek, Nur Sumayyah Humairah, 2 tahun dan Nur Saffiyah Humairah, 5 tahun serta ibunya, Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56 tahun.
Manakala, bedah siasat terhadap suspek berusia 32 tahun dan isterinya, Nurul Asshiykin Kamaruzaman, 33 tahun telah selesai dilakukan, semalam.
Selesai proses bedah siasatan, semua lima jenazah dituntut waris pada pukul 2.54 petang.
Kesemua jenazah kemudiannya dibawa menaiki empat van jenazah dan meninggalkan perkarangan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada pukul 3.10 petang.
Jenazah dibawa ke Masjid Cherating untuk dimandi dan dikafankan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cherating, selepas solat Asar.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati suspek dipercayai membunuh isteri dan ibunya serta dua anak perempuannya, kira-kira pukul 7 pagi, sebelum bertindak membunuh dirinya.
Saksi kejadian yang juga adik bongsu suspek mendakwa terdengar bunyi pertengkaran sebelum insiden menyayat hati itu berlaku.
“Apabila saksi keluar bilik dan menoleh ke arah dapur, didapati ibunya dalam keadaan berlumuran darah dan menjerit supaya dia pergi meminta bantuan bapa saudaranya yang berada di belakang kawasan perumahan sama.
“Saksi kemudian meminta bantuan bapa saudaranya dan setelah tiba di rumah, didapati kesemua mangsa dan suspek berada dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.