
KUALA PILAH, 27 Mac – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan mayat seorang bayi lelaki di kawasan Rembang Panas, di sini, petang Khamis.
- Laporan diterima orang awam kira-kira pukul 6.30 petang.
- Pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah bersama Bahagian Forensik menghadiri lokasi untuk pemeriksaan lanjut.
- Mayat bayi lelaki bertali pusat dianggarkan meninggal sekitar 48 jam dan mula mereput; tiada kecederaan luaran ditemui.
- Mayat dihantar ke hospital untuk bedah siasat; kes disiasat mengikut Seksyen 318; orang awam diminta hubungi IPD atau Inspektor Supiah Ishak 019-9933978.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Timbalan Penguasa Polis DSP Shamrol Shah Ramli berkata, kejadian dilaporkan kira-kira pukul 6.30 petang selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.
Menurut beliau, susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah bersama Bahagian Forensik bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati mayat tersebut adalah seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat dan dianggarkan telah meninggal dunia kira-kira 48 jam serta mula mengalami proses pereputan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, tiada kesan kecederaan luaran ditemui pada tubuh bayi berkenaan dan identitinya masih belum dikenal pasti.
Mayat bayi itu telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah atau Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Supiah Ishak di talian 019-9933978.