Bayi empat bulan maut di TASKA, premis ditutup sementara

Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 11 Mac – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengarahkan penutupan sementara TASKA Pintar Hospital Seberang Jaya, susulan kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan pada 9 Mac lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKM menjalankan siasatan awal mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 dan pemeriksaan pematuhan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.
  • JKM menyediakan sokongan psikososial awal kepada ibu dan keluarga mangsa.
  • Kes kini dalam siasatan Polis Diraja Malaysia dan JKM memberi kerjasama penuh.
  • Semua taska berdaftar mesti mematuhi peraturan, kelayakan pengasuh dan prosedur keselamatan; pelanggaran boleh membawa kepada penggantungan atau pembatalan pendaftaran.

Hayl Haarith Mohd Syafaeez dipercayai meninggal dunia ketika berada di bawah jagaan pengasuh di premis TASKA tersebut.

Menurut JKM dalam satu kenyataan, siasatan awal dijalankan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), selain pemeriksaan pematuhan premis berkenaan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308).

JKM turut menyediakan sokongan psikososial awal kepada ibu dan keluarga mangsa. Kes kini dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak JKM menekankan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Semua taska yang berdaftar di bawah Akta 308 perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan serta kelayakan pengasuh dan prosedur kesalamatan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.

Kerajaan turut menegaskan sebarang pelanggaran boleh membawa kepada penggantungan operasi atau pembatalan pendaftaran TASKA.