
PUTRAJAYA, 6 April –Anak kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan yang dijalankan agensi tersebut.
- Asnida hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung siasatan.
- Tiga lagi anak, Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin, belum tiba setakat 1.30 petang.
- SPRM mengeluarkan Notis Kesan Individu pada 28 Februari terhadap keempat anak kerana gagal memberi maklum balas dan tidak mematuhi notis rasmi.
- Siasatan Op Godfather menyiasat syarikat dan aset luar pesisir yang dikaitkan dengan Tun Daim, keluarga dan sekutu di bawah Akta SPRM dan AMLA.
Asnida yang ditemani peguamnya dilihat tiba di pekarangan ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 9.50 pagi selepas menerima notis hadir ke pejabat berkenaan sebelum ini.
Tiga lagi anak Allahyarham, iaitu Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin difahamkan masih belum tiba di ibu pejabat SPRM setakat pukul 1.30 tengah hari tadi.
Pada 28 Februari lalu, SPRM mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Tun Daim berikutan kegagalan mereka memberi maklum balas dan ketidakpatuhan terhadap dua notis rasmi yang diserahkan sebelum ini.
SPRM sebelum ini dilaporkan melaksanakan Op Godfather susulan pendedahan mengenai kewujudan syarikat dan aset luar pesisir yang dikaitkan dengan Tun Daim, ahli keluarga serta sekutu perniagaan.
Siasatan Op Godfather dilaksana di bawah Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.