
ALOR SETAR, 11 Februari -Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar atas pertuduhan membunuh ibunya.
- Lelaki, 29 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar atas pertuduhan membunuh ibu.
- Tertuduh didakwa membunuh ibunya di rumah di Taman Sultan Abdul Halim pada 2 Februari.
- Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membawa hukuman mati atau penjara panjang dan sebatan.
- Tiada jaminan, kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi; sebutan semula pada 11 Mei.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan ketika tertuduh, Amirul Shafiq Shamsul Zahari, 29, dihadapkan di hadapan majistret.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh ibunya, Zahrullail Basir, 52 tahun, di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar antara pukul 3.15 pagi hingga 8.00 pagi, pada 2 Februari lalu.
Pertuduhan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta tidak kurang 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Majistret Eliana Ismail menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan semula kes dan kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.
Tiada jaminan ditawarkan dan tertuduh dihantar ke Penjara Alor Setar.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nor Fatin Azera Norhisham, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam kejadian 2 Februari lalu, seorang eksekutif sebuah bank ditemui maut dengan tiga kesan tikaman di badan, di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim.