
KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun pada 2023.
- Warga emas dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan selepas sabitan bagi dua kes amang seksual ke atas kanak-kanak tujuh tahun.
- Hukuman diputuskan sebagai dua penjara empat tahun berturutan, setiap satu disertai satu sebatan, bermula dari tarikh sabitan.
- Tertuduh juga dikenakan pengawasan polis selama dua tahun dan kes berlaku di koridor PPS sebuah sekolah rendah pada 22 Nov 2023.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap Mohammed Rashid Rahmat, 64, melampaui keraguan yang munasabah.
Berikutan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dihukum penjara empat tahun dengan satu sebatan bagi kes pertama bermula dari tarikh sabitan manakala bagi kes kedua, dia diperintahkan menjalani hukuman penjara empat tahun dengan satu sebatan selepas tamat hukuman pertama, serta dikenakan pengawasan polis selama dua tahun.
Mohammed Rashid didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan koridor pusat pemindahan sementara (PPS) di sebuah sekolah rendah di Kuala Nerus antara 6 petang hingga 8 malam pada 22 Nov 2023 mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nabihah Hanin Ayim manakala Mohammed Rashid diwakili peguam Masliela Ismail.- BERNAMA