
BALAKONG, 8 April – Alasan kekurangan pekerja dan ketiadaan kuota baharu tidak boleh dijadikan justifikasi untuk menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).
- Majikan bertanggungjawab memastikan pekerja memiliki dokumen sah dan mematuhi undang-undang negara.
- Operasi bersepadu menahan PATI dan memeriksa premis berisiko tinggi, penguatkuasaan akan diteruskan secara agresif.
- Tindakan tegas terhadap majikan termasuk kompaun, pendakwaan mahkamah dan denda besar.
- Individu tanpa dokumen ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, majikan tetap bertanggungjawab memastikan pekerja mereka memiliki dokumen sah dan mematuhi undang-undang negara.
“Alasan biasa yang diterima Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ialah susah untuk dapat pekerja, selain tiada kuota baharu dibuka.
“Tiada sebarang pengecualian. Majikan tidak boleh memberi alasan tidak tahu atau menyalahkan ejen kerana keputusan menggaji pekerja terletak sepenuhnya kepada mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas selesai operasi, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, JIM menahan 133 PATI dalam operasi bersepadu di dua kawasan perindustrian di Shah Alam dan Balakong, Selangor.
Operasi bermula pukul 11 pagi melibatkan beberapa agensi termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar itu memeriksa 162 warga asing.
Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan termasuk tiada dokumen sah, tiada permit kerja serta penyalahgunaan pas.
Kesemua mereka akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Mengulas lanjut, Datuk Zakaria berkata penguatkuasaan kini memberi tumpuan lebih kepada majikan yang menggaji PATI.
Sehingga 7 April lalu, seramai 347 majikan telah diambil tindakan dengan jumlah kompaun hampir RM6 juta.
Bagi tahun 2025 pula, sebanyak 1,939 majikan dikenakan tindakan dengan kompaun melebihi RM36 juta.
Selain itu, tindakan mahkamah turut diambil dengan jumlah denda melebihi RM1 juta tahun ini dan lebih RM10 juta tahun lalu.
JIM menegaskan operasi bersepadu akan diteruskan secara agresif, khususnya melibatkan premis berisiko tinggi seperti kilang pemprosesan e-waste.
Untuk rekod, 454 majikan didakwa di mahkamah pada 2025, manakala 57 lagi bagi 2026 setakat Februari.