AKPS rampas barang seludup RM3.1 juta di Bukit Kayu Hitam

Foto RTM

BUKTI KAYU HITAM, 17 Februari – Pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM3.1 juta dirampas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan pelbagai barangan seludup bernilai lebih RM3.1 juta di sempadan Bukit Kayu Hitam.
  • Operasi Bersepadu Bil. 1/2026 dijalankan dari 15 Jan hingga 15 Feb.
  • Kastam catat rampasan tertinggi lebih RM1.3 juta; MAQIS, JPJ dan Kementerian Kesihatan turut catat rampasan besar.
  • 118 warga asing tidak dibenarkan masuk; 562,580 individu direkodkan melalui ICQS Bukit Kayu Hitam Januari hingga Ahad lalu.

Ia hasil Op Bersepadu Bil. 1/2026 yang dilaksanakan bermula 15 Januari hingga 15 Februari lalu.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin Mohd Nasir berkata, barangan yang dirampas termasuk makanan dalam tin, beras, sayur-sayuran, ikan, sotong, ayam, minuman keras, makanan ringan, makanan haiwan, ubat-ubatan dan daging babi.

Turut dirampas, diesel dan kenderaan.

Kesalahan bawah Kastam merekodkan rampasan tertinggi iaitu lebih RM1.3 juta ringgit.

Diikuti, MAQIS (RM739,000), Jabatan Pengangkutan Jalan (RM549,000) dan Kementerian Kesihatan (RM506,000).

Beliau turut memaklumkan, sepanjang tempoh itu, Notis Penolakan Masuk (NPM) dikeluarkan kepada 118 warga asing kerana tidak memenuhi syarat sebagai pelancong.

Mereka terdiri daripada 72 lelaki dan 46 wanita.

Dalam pada itu, 562,580 individu direkodkan keluar masuk melalui Kompleks Imigresen Kastam Kuarantin dan Keselamatan, ICQS Bukit Kayu Hitam bagi tempoh Januari hingga Ahad lalu.