9 kontena dari AS ditahan, bawa dagangan larangan

Pemeriksaan fizikal ke atas 10 buah kontena di tapak pemeriksaan kontena CFS 4, Pelabuhan Klang Barat/ AKPS

KUALA LUMPUR, 6 Februari – Sebanyak sembilan kontena dari Amerika Syarikat ditahan selepas pemeriksaan fizikal ke atas 10 buah kontena di tapak pemeriksaan kontena CFS 4, Pelabuhan Klang Barat, kira-kira 10.45 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sembilan kontena dari Amerika Syarikat ditahan selepas pemeriksaan fizikal di Pelabuhan Klang Barat.
  • Tujuh kontena tidak diisytihar sah, semua membawa dagangan yang dikategorikan larangan import bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
  • Kontena e-sisa ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis JAS untuk tindakan eksport semula; operasi melibatkan agensi berkaitan.

Komander AKPS Pelabuhan Klang, DCP Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal dalam kenyataan memaklumkan tujuh daripada sembilan kontena yang ditahan tidak diikrar secara sah untuk kemasukan ke Malaysia, manakala kesemua kontena berkenaan membawa dagangan yang dikategorikan sebagai larangan import mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Jumlah keseluruhan berat dagangan yang terlibat ialah 201,303 kilogram, dengan Amerika Syarikat dikenal pasti sebagai negara pengeksport bagi kesemua kontena berkenaan.

“Kontena-kontena e-sisa tersebut ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis lanjut daripada JAS Selangor dan Jabatan Alam Sekitar pusat bagi tujuan eksport semula.

“Pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa terlarang akan diteruskan, selain memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan serta kepentingan negara terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Daripada pecahan kontena yang ditahan, lima kontena e-sisa mengandungi peralatan elektrik dan elektronik terpakai seperti CPU, pencetak dan mesin fotostat, dengan berat keseluruhan melebihi 98,000 kilogram. Kontena-kontena berkenaan berasal dari pelabuhan Los Angeles dan Norfolk, Amerika Syarikat.

Manakala empat lagi kontena didapati mengandungi e-sisa bercampur bahan buangan terjadual, iaitu sisa regulator automotif yang dihancurkan bersama besi buruk (metal scrap), dengan berat keseluruhan lebih 103,000 kilogram. Kesemua kontena ini berlepas dari pelabuhan Charleston, Amerika Syarikat.

Operasi yangdiketuai DCP Datuk Nik Ezanee itu turut mendapat kerjasama SIRIM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Pelabuhan Klang serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.