
TUMPAT, 6 Februari – Polis berjaya menahan 24 individu warga asing di tebing Sungai Pasir Pekan Hulu, Wakaf Bharu, di sini awal pagi semalam sekali gus menggagalkan cubaan penyeludupan migran.
- Polis Tumpat menahan 24 individu warga asing dalam operasi pagi, menggagalkan cubaan penyeludupan migran.
- Migran dari Myanmar, China, Bangladesh dan Afghanistan, berumur 2 hingga 42 tahun, tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
- Tiga kenderaan dirampas; pemandu melarikan diri dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Khairi Shafie dalam kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira 5.00 pagi ketika sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menjalankan operasi di kawasan berkenaan.
“Polis menahan tiga buah kenderaan disyaki digunakan untuk kegiatan penyeludupan iaitu dua buah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah kereta.
“Migran yang ditahan terdiri daripada warga Myanmar, China, Bangladesh dan Afghanistan berusia antara dua hingga 42 tahun,” menurut kenyataan itu.
Namun pemandu ketiga-tiga kenderaan tersebut berjaya meloloskan diri dengan melarikan diri ke kawasan tebing sungai dan sehingga kini identiti mereka masih belum dikenal pasti.
Usaha mengesan suspek turut dibantu pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) namun gagal berikutan jarak penglihatan terhad serta keadaan kawasan yang gelap.
Siasatan awal mendapati kesemua migran tersebut dipercayai memasuki negara ini melalui sungai berdekatan dengan menaiki bot dari Thailand dan hasil semakan mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.
Kesemua migran bersama kenderaan yang dirampas dibawa ke IPD Tumpat bagi siasatan lanjut untuk mengenal pasti tujuan mereka memasuki negara ini. Kes disiasat bawah Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.