
PUTRAJAYA, 13 April – Sebanyak 170 stesen minyak berhampiran sempadan negara akan dipantau pihak polis secara berperingkat bagi membendung ketirisan bekalan minyak dan aktiviti penyeludupan.
- PDRM akan membantu KPDN dalam operasi penguatkuasaan kerana kekangan kapasiti penguatkuasa.
- Penempatan anggota dilaksanakan mengikut keupayaan dan berpandukan SOP jelas supaya setiap anggota memahami peranan dan tugasan.
- Pihak berkuasa disaran mendapatkan data tepat dari Kementerian Kewangan dan KPDN mengenai isipadu jualan stesen untuk penguatkuasaan berkesan.
- Penglibatan polis diteruskan selagi konflik memberi kesan dalam negara dan akan dinilai semula jika penyeludupan menurun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penempatan anggota akan dilaksanakan mengikut keupayaan semasa serta berpandukan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi memastikan setiap anggota memahami peranan dan tugasan masing-masing.
Menurut beliau, penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi itu bersifat bantuan susulan kekangan keupayaan penguatkuasaan sedia ada di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Tugas hakiki pihak polis pada asalnya tidak merangkumi penguatkuasaan di stesen minyak. Negara mempunyai lebih 4,000 stesen minyak, dan penguatkuasaan utama terletak di bawah KPDN.
“Namun dalam situasi semasa, kekuatan anggota penguat kuasa KPDN sekitar 2,400 orang dilihat tidak mampu memenuhi skala operasi. Tambahan pula, stesen minyak kini dikenal pasti sebagai antara pintu utama berlakunya aktiviti penyeludupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, pihak berkuasa juga disaran mendapatkan data tepat daripada Kementerian Kewangan dan KPDN, khususnya berkaitan isipadu jualan di stesen minyak berhampiran sempadan, bagi membantu pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan.
Menurut beliau, penglibatan polis dalam perkara itu akan diteruskan selagi konflik semasa memberi kesan kepada situasi dalam negara.
“Sekiranya pemantauan menunjukkan penurunan aktiviti penyeludupan, pendekatan ini akan dinilai semula,” katanya.