16 warga Indonesia ditahan seludup migran

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU, 13 Mac – Polis menahan 16 warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan dalam operasi di tiga lokasi di sekitar Tanjung Kupang dan Taman Ehsan Jaya, di Iskandar Puteri, 2 Mac lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tekong, pembantu dan penjaga rumah penampungan ditahan dalam beberapa serbuan polis.
  • Migran didapati tiada dokumen perjalanan sah, ujian urin semua negatif dadah.
  • Telefon bimbit, kenderaan dan wang tunai dirampas; suspek disiasat mengikut Akta Imigresen dan Antipemerdagangan Orang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M.Kumarasan berkata, dalam operasi pertama pada 1.30 tengah hari hingga 2.30 petang di sebuah rumah di Tanjung Kupang, polis menahan seorang lelaki Indonesia dipercayai tekong darat serta dua lelaki warganegara sama yang disyaki penjaga rumah penampungan.

“Turut ditahan, empat migran warga Indonesia terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kira-kira 4 petang hari sama, polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai tekong darat bersama tiga migran terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita di kawasan Taman Ehsan Jaya.

ACP M.Kumarasan berkata, hasil saringan urin mendapati, kesemua individu berusia 21 hingga 60 tahun yang ditahan di dua lokasi itu negatif terhadap dadah namun kesemua warga asing didapati tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sembilan telefon bimbit, sebuah kenderaan serta wang tunai berjumlah RM7,800 daripada mereka.

“Dalam serbuan antara 6.30 petang hingga 7 malam hari sama di hadapan sebuah apartmen di Tanjung Kupang pula, polis menahan seorang lelaki warga Indonesia dipercayai tekong darat, seorang wanita warganegara sama disyaki pembantu tekong darat serta empat migran terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita,” katanya.

Polis turut merampas dua telefon bimbit, sebuah kenderaan serta wang tunai berjumlah RM14,000 daripada kesemua individu berusia antara 23 hingga 40 tahun itu.

Menurutnya lagi, kesemua migran dalam ketiga-tiga serbuan disiasat mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63, manakala individu dipercayai tekong darat, pembantu tekong darat serta penjaga rumah penampungan ditahan selama 28 hari bermula 3 Mac mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran  2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – BERNAMA