12 anggota polis ditahan bantu kes samun mata wang kripto

PDRM

SHAH ALAM, 19 Februari- Seramai 12 anggota polis telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu kes samun melibatkan kerugian mata wang kripto milik seorang warga asing yang dilaporkan berlaku di daerah Kajang awal bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 12 anggota polis ditahan untuk membantu siasatan kes samun melibatkan kerugian mata wang kripto.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
  • Ketua Polis Selangor menegaskan tiada kompromi terhadap anggota terbabit dalam jenayah.
  • Orang ramai diminta memberi ruang dan tidak berspekulasi bagi melengkapkan siasatan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6 Februari lepas kira-kira 2.06 petang.

“Susulan laporan itu, tindakan segera telah diambil sehingga membawa kepada penahanan 12 anggota polis bagi membantu siasatan.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Shazeli menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam aktiviti jenayah.

Orang ramai turut diminta memberi ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.