KUANTAN, 9 November - Seorang wanita maut, manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki terbabas dan terbalik di Kilometer 44.2, Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak (KLK) dekat Genting Sempah, Bentong.
Dua mangsa yang cedera terdiri daripada seorang lelaki dan seorang kanak-kanak.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.04 pagi.
Seramai tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong digegaskan ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta terbabas dan terbalik melibatkan tiga mangsa.
"Pihak bomba segera mengeluarkan seorang wanita yang tersepit menggunakan peralatan khas, namun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan, " katanya.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Manakala, mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan menggunakan ambulans.