PELABUHAN KLANG, 18 Februari- Polis mengesahkan seorang suspek yang dikenali sebagai “Ah Boy” yang mati ditembak awal pagi tadi di Pulau Ketam, dipercayai terlibat dalam 14 kes jenayah termasuk samun bersenjata di Kajang dan Klang sejak pertengahan tahun lalu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, hasil siasatan mendapati suspek sebelum ini bergerak dalam kumpulan kecil sebelum bertindak sendirian sejak setahun lalu.
Polis juga tidak menolak kemungkinan lelaki itu merancang untuk melarikan diri ke luar negara.
"Selepas kejadian di Setia City Mall, daripada Klang dia melarikan diri ke selatan, lima hari dia berada di selatan, patah balik ke Banting, dua hari lepas dia dikesan di Sabak Bernam. Di Sabak Bernam dia sempat buat satu kes pecah rumah dan curi motosikal dan menunjukkan senjata api. Jadi selepas insiden di Setia City Mall, dia melakukan lima lagi kesalahan samun menggunakan senjata api dan juga pecah rumah.
"Cara bergerak... dia bergerak dari Klang menaiki grab dan dia ugut pemandu grab hantar sampai Melaka, di Melaka juga dia menggunakan method sama, dia ugut pihak orang awam pemandu lori dan sebagainya untuk dia bergerak curi motosikal, bergerak sampai ke Sabak Bernam, di situ dia ugut pemandu lori untuk lari ke Klang", katanya dalam sidang media di Jeti Pulau Ketam.
Tambah beliau, suspek pernah dipenjarakan dua kali kerana kes samun.
Pihak polis turut menemui dua pucuk pistol berserta peluru dan Kad Pengenalan di lokasi kejadian.
Suspek dipercayai sedang merancang untuk melakukan samun di sebuah pusat beli-belah, tidak mempunyai kaitan dengan pekerja pembersihan yang menjadi mangsa dalam kejadian terdahulu.
Mayat suspek telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.
Polis mengesahkan bahawa kes ini kini dianggap selesai selepas lebih setahun suspek bergerak bersendirian melakukan jenayah bersenjata api.
BERITA BERKAITAN: