KOTA BHARU, 23 Sept- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya mematahkan sindiket mengedar kereta mewah seludup dari Singapura dengan menawarkan harga rendah sehingga 40 peratus daripada pasaran.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan itu dan menjalankan risikan selama sebulan sebelum menjalankan operasi pada 18 hingga 24 Mei lalu.
Hasil risikan, sembilan kenderaan mewah bernilai RM1.46 juta berjaya dirampas dalam operasi di sekitar Johor Bahru.
Jumlah keseluruhan rampasan termasuk cukai dianggar mencecah RM2.7 juta.
Menurut beliau, modus operandi sindiket adalah menyimpan kenderaan berkenaan di lokasi tertentu seperti pangsapuri dan kawasan letak kereta awam sebelum diedarkan kepada pelanggan di seluruh negara.
"Ia merupakan antara kes terbesar melibatkan rampasan kereta seludup setakat ini yang didalangi sindiket dipercayai rakyat tempatan dan warga Singapura.
"Sasaran mereka ialah pembeli yang ingin memiliki kenderaan mewah pada harga yang murah," katanya.
Antara model yang dirampas ialah Porsche Panamera, Jaguar, Audi A5 dan BMW 325.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Jika sabit kesalahan, hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM50 ribu (yang mana lebih besar) dan tidak lebih dua kali ganda nilai barang atau RM500 ribu (yang mana lebih besar), atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Wan Jamal turut mendedahkan, tujuh lagi kenderaan mewah dipercayai didalangi sindiket sama sedang disiasat.