JOHOR BAHRU, 30 Oktober-Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket penjualan cuti sakit palsu menerusi penahanan enam individu di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri, pada minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata, semua suspek disyaki aktif menjual sijil cuti sakit palsu kepada pekerja-pekerja syarikat dan kilang swasta di sekitar daerah berkenaan.
Tiga lelaki berumur antara 26 hingga 27 tahun ditangkap di sekitar Iskandar Puteri, serta Plentong dan Skudai, Johor Bahru, 21 Oktober lalu.
Manakala penahanan kedua melibatkan seorang lelaki dan dua wanita berumur antara 24 hingga 31 tahun di sekitar Skudai, Johor Bahru dan Masai, pada 23 Oktober.
Turut dirampas, 1,363 keping sijil cuti sakit disyaki palsu, tujuh keping kad bank, tujuh buah telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM40,000 dan sebuah motosikal.
Dua daripada suspek telah dituduh di Mahkamah Johor Bahru, 24 Oktober lepas.
Sementara siasatan lanjut masih diteruskan bagi mendakwa baki suspek yang terlibat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420, Seksyen 471, Seksyen 468, Seksyen 474, Seksyen 466, Seksyen 472 dan Seksyen 467 Kanun Keseksaan.
Selain Seksyen 11 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).