fb fb fb fb fb

Tender 1BestariNet: Siasatan berdasarkan maklumat laporan JKSTUPKK dan PAC

Foto Hiasan/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 6 September- Siasatan yang dijalankan terhadap YTL Communications Sdn Bhd (YTL) membabitkan tender perkhidmatan 1BestariNet adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang baru diterima pada Ogos baru-baru ini, selain Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa dua laporan itu mendedahkan terdapat beberapa kelemahan berhubung inisiatif itu, antaranya seperti aspek capaian liputan jalur lebar yang rendah, kelemahan teknologi infrastuktur, lokasi sekolah selain capaian jalur lebar yang tidak menyeluruh.

SPRM berkata terdapat juga maklumat awam serta aduan daripada pihak tertentu mengenai projek itu, yang gagal memberikan capaian jalur lebar dengan kelajuan sebagaimana dikehendaki dalam membantu proses pembelajaran di sekolah yang lebih efisien.

"Selain itu berdasarkan maklumat diterima, tender perkhidmatan 1BestariNet ini pada asalnya dirancangkan untuk tempoh 15 tahun membabitkan jumlah RM4.07 bilion, namun dipendekkan kepada tujuh tahun enam bulan tanpa ada pengurangan dari segi nilai kontrak.

"Walaupun perkhidmatan yang diberikan tidak mencapai matlamat, difahamkan masih ada beberapa tuntutan yang dibuat oleh syarikat berkenaan kepada pihak kementerian terbabit yang memerlukan siasatan terperinci bagi mengesahkan perkara berkenaan," menurut kenyataan itu.

SPRM berkata siasatan mendapati sehingga kini kerajaan perlu menanggung RM176 juta yang dituntut oleh syarikat berkenaan, namun maklumat tuntutan itu belum dapat disahkan oleh kerajaan, selain kerugian sewaan pencawang telekomunikasi bagi tempoh lima tahun sejak 2019 yang dianggarkan berjumlah RM10.8 juta.

"Justeru itu, tidak timbul isu mengapa siasatan dibuat setelah projek 1BestariNet ditamatkan pada 2019 kerana menjadi tanggungjawab SPRM untuk menjalankan siasatan secara profesional apabila mendapat maklumat baharu, khususnya yang melibatkan peruntukkan dana kerajaaan untuk pembangunan negara," menurut kenyataan itu.

Pada 4 September lepas, SPRM dilaporkan memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4.07 bilion yang dianugerahkan kepada YTL pada 2011.

SPRM berkata siasatan terhadap YTL adalah bersifat telus, adil dan profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak dan ia adalah berdasarkan aduan yang diterima, melibatkan beberapa dakwaan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang melanggar peruntukan undang-undang termasuk Akta SPRM 2009.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM