fb fb fb fb fb

Sekolah di Johor, Perak dan Pulau Pinang dikejutkan dengan ancaman bom

Foto PDRM

KUALA LUMPUR, 21 November - Lima sekolah swasta di Johor dikejutkan dengan kiriman emel mendakwa bahan letupan telah ditanam di kawasan sekolah berkenaan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata emel itu diterima pada pukul 11 pagi sehingga 6.18 petang tadi.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan Pasukan Unit Pemusnah Bom yang turut disertai Unit Anjing Pengesan, tidak menemui objek mencurigakan.

Seluruh kawasan sekolah dilaporkan selamat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 kanun keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, sebuah sekolah antarabangsa di Ipoh, Perak turut menerima ancaman bom yang dihantar melalui emel.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya menerima maklumat daripada pegawai sekolah berkenaan pada pukul 10:10 pagi.

Sepasukan anggota dan pegawai polis dibantu Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak ke sekolah berkenaan bagi melakukan pemeriksaan menyeluruh.

Namun tiada sebarang objek meragukan ditemui.

Di Pulau Pinang, dua sekolah antarabangsa menerima ancaman bom menerusi emel bertajuk "Bahan Letupan Telah Ditanam di Sekolah".

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, V Saravanan berkata kandungan emel turut menyatakan berkenaan masalah hidup yang dialami penghantar emel berkenaan.

Antaranya dia dibenci orang sekeliling, dihina di sekolah dan menjadi mangsa rogol bapanya sejak kecil.

Bagaimanapun, hasil siasatan Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan tidak menemukan sebarang unsur mencurigakan.

Emel tanpa nama tersebut diterima pada pukul 11.20 pagi dan 12.27 tengah hari.

 

ARTIKEL BERKAITAN: 
Polis terima 19 laporan ancaman bom palsu di sekolah enam negeri

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN