SHAH ALAM, 9 November - Empat individu ditahan, 48 motosikal disita dan 105 saman dikeluarkan dalam Operasi Khas Bersepadu di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) awal pagi tadi, bagi membanteras kegiatan samseng jalanan dan lumba haram.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar menerusi kenyataan memaklumkan, sepanjang operasi, 210 motosikal diperiksa dan dibawa ke Balai Trafik Klang Selatan.
"Pemeriksaan air kencing oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati lima individu positif bahan terlarang, termasuk tiga kes ganja dan dua kes ketum, " katanya.
Operasi yang diketuai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPK Selangor itu meliputi kawasan Kilometer 18 hingga Kilometer 26 kedua-dua arah laluan, dengan penutupan penuh sepanjang enam kilometer di lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan atau “hotspot” samseng jalanan.
Operasi melibatkan 183 petugas dari pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS), AADK dan pihak konsesi lebuh raya.
"Tindakan tegas akan terus diambil terhadap sesiapa sahaja yang terlibat dalam aktiviti samseng jalanan. Orang ramai diseru menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras gejala tersebut demi keselamatan masyarakat," ujar beliau.