fb fb fb fb fb

Polis tahan guru penolong kanan sekolah rendah cabul murid

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh / Foto Bernama

IPOH, 14 Oktober - Polis menahan seorang guru penolong kanan sebuah sekolah rendah di Ipoh Jumaat lepas kerana disyaki mencabul seorang murid perempuan sekolah berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata suspek berusia 37 tahun dan masih bujang itu ditahan susulan laporan dibuat ibu mangsa berusia 47 tahun yang mendakwa anak perempuannya dipeluk dan dicium guru berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan laporan yang dibuat, murid berumur 12 tahun itu telah beberapa kali dipeluk dan dicium, di samping menerima gambar tidak senonoh daripada guru berkenaan.

“Suspek yang baharu lapan bulan berkhidmat di sekolah itu direman selama enam hari bermula Sabtu lepas sehingga 17 Okt depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pada Ahad dilaporkan berkata Kementerian Pendidikan bersedia memberi khidmat kaunseling kepada murid berkenaan.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN