fb fb fb fb fb

Polis tahan 113 individu terlibat pemerdagangan orang menerusi Ops Mega Pintas

DCP Fadil Marsus bercakap pada sidang media

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Seramai 73 individu termasuk 22 kanak-kanak dan tiga orang kurang upaya (OKU) yang disyaki mangsa aktiviti pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan.

Mereka antara 113 individu yang ditahan menerusi 33 serbuan dalam operasi bersepadu Ops Mega Pintas yang dijalankan serentak seluruh negara 12 Jun lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman DCP Fadil Marsus berkata, mangsa-mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 25 lelaki, 26 perempuan dan 22 kanak-kanak warga tempatan, Filipina, Indonesia, Bangladesh, Kemboja, Myanmar dan Thailand.

OKU yang diselamatkan pula berusia 38 hingga 44 tahun masing-masing seorang wanita dan dua lelaki dipercayai terlibat dalam eksploitasi seks dan buruh paksa.

Katanya, fokus operasi adalah mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang eksploitasi buruh paksa dalam kalangan golongan rentan yang mudah diperdaya dengan berpandukan National Guideline On Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

"Ada antara peniaga dan masyarakat kita masih kurang kesedaran tentang wujudnya eksplotasi ini dengan menggaji pekerja OKU dan bawah umur,"katanya.

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 12 dan 14 Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Tambahnya lagi, polis sentiasa memandang serius aktiviti jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu dan kumpulan yang melakukan jenayah berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE