SEREMBAN, 11 Disember - Polis merampas 224 mesin simulator yang dipercayai akan dipasarkan bagi tujuan kegiatan judi bernilai kira-kira RM560,000 di sebuah premis di Kampung Baru Rasah, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata mesin simulator yang dirampas dalam serbuan pada pukul 4.30 petang itu terdiri daripada 140 unit mesin slot, 83 mesin permainan 'tembak ikan' dan satu mesin permainan 'street fighter'.
Beliau berkata susulan itu tiga lelaki berumur sekitar 30an ditahan bagi membantu siasatan, termasuk seorang warga China yang didapati tiada permit kerja yang sah.
"Seunit mesin ini dijual dengan harga RM2,500, risikan bagi kes ini dilakukan kira-kira tiga minggu, premis ini juga dipercayai menjual peralatan khemah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini hari ini.
Mohamad Hatta berkata suspek mengiklankan penjualan mesin berkenaan di aplikasi Wechat dan Facebook.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4B (b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963. - BERNAMA