fb fb fb fb fb

Polis PRP menyamar pegawai kanan Bukit Aman ditahan

Anggota terbabit yang lengkap memakai vest polis berpangkat Inspektor mendakwa dirinya dari Unit Cawangan Khas Bukit Aman/Foto PDRM

KOTA SAMARAHAN, 22 September - Seorang anggota polis yang menyamar sebagai pegawai kanan dari Unit Cawangan Khas Bukit Aman ditahan di hadapan Bangunan Teck Kong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Jaimi Husin berkata, lelaki tersebut berada dalam sebuah kenderaan bersama seorang rakan,  didapati memakai vest polis berpangkat Inspektor serta membawa sarung pistol.

Kononnya anggota Pegawai Rendah Polis (PRP) itu mengaku sebagai Inspektor yang sedang membuat risikan di lokasi tersebut.

"Kedua-dua mereka ditahan anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) yang membuat rondaan cegah jenayah.

"Ketika diminta menunjukkan kad kuasa polis untuk mengesahkan identitinya, lelaki tersebut gagal berbuat demikian dan hanya menyerahkan kad pengenalan awam," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Tambah Jaimi, lelaki itu telah bercuti selama dua minggu dan tidak hadir bertugas sejak Mac 2024.

Pihak polis turut merampas sebuah Perodua Bezza, satu kunci kereta, vest polis berpangkat Inspektor, dan satu sarung pistol.

Sementara itu rakannya di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan untuk tindakan lanjut.

GRACE AISYAH KEDAYAN