fb fb fb fb fb

Polis Kelantan tahan empat lelaki, edar air ketum

Foto Fail

MACHANG, 14 Mac - Empat lelaki ditahan kerana terbabit sindiket pengedaran air ketum di sebuah kandang ternakan lembu di Kampung Pangkal Mempelam, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Machang Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, penahanan suspek berusia 24 hingga 54 tahun itu hasil serbuan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada pukul 6.30 pagi.

"Pemeriksaan dilokasi terbabit telah menjumpai tiga bungkusan plastik cerah disyaki air ketum, dua botol plastik berisi cecair disyaki kodein dan dua peti sejuk berisi 630 bungkusan plastik cerah berisi cecair keperangan juga disyaki air ketum," menurut Ahmad Shafiki dalam satu kenyataan.

Turut ditemukan satu tong plastik biru mengandungi 255 bungkusan plastik cerah berisi cecair disyaki air ketum.

Katanya, jumlah keseluruhan 855 bungkusan plastik cerah berisi air ketum dengan anggaran kasar berjumlah 855 liter dengan nilai rampasan dianggarkan RM26,640.

"Saringan awal ujian air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek negatif dadah,"katanya.

Bagaimanapun, hasil semakan mendapati dua daripada empat suspek mempunyai rekod lampau, suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau berkait Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Manakala suspek kedua mempunyai tiga rekod lampau berkait kesalahan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ahmad Shafiki berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan suspek berkaitan dengan barangan kes yang dirampas dan permohonan reman ke atas semua suspek akan dibuat hari ini di hadapan Majistret Machang.

TETITIA YUSOFF