fb fb fb fb fb

PGA Sarawak rampas rokok, arak tanpa cukai lebih RM3 juta

Foto PGA Sarawak

KUCHING, 5 Januari- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak berjaya merampas rokok dan minuman keras tanpa cukai bernilai lebih RM3 juta dalam Op Taring Alpha yang dijalankan di sini pada Jumaat.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Che Ghazali Che Awang dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan serbuan dijalankan oleh pasukan dari Cawangan Risik Batalion 11 PGA, Kuching di sebuah premis.

Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 1,777 karton rokok putih, 695 karton rokok kretek, 11,732.5 liter bir serta 2,137.9 liter arak pelbagai jenama yang disimpan di premis tersebut.

Dalam serbuan itu, pasukan polis turut menahan dua wanita warga tempatan yang berusia 30 dan 33 tahun.

Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA), Kuching telah melaksanakan sebanyak 287 serbuan serta melakukan 630 tangkapan dan pengusiran, dengan jumlah rampasan barang bernilai RM83.3 juta sepanjang tahun lepas. 

Che Razali berkata pecahan nilai rampasan adalah melibatkan rokok seludup bernilai RM25.6 juta, arak dan minuman keras seludup bernilai RM6.9 juta, minyak diesel seludup bernilai RM1.2 juta, kenderaan berjumlah RM14.2 juta serta lain-lain rampasan bernilai RM35.4 juta.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD