NARATHIWAT, 2 November - Seorang penyanyi dikir barat moden wanita popular di Kelantan antara enam individu yang ditahan polis Thailand di sebuah hotel dekat pekan Sungai Golok, awal pagi semalam.
Menurut sumber polis Thailand, wanita berusia 30-an tersebut ditahan lebih kurang pukul 6 pagi bersama lima individu lain, iaitu dua perempuan dan tiga lelaki yang berusia antara 25 hingga 24 tahun.
“Siasatan yang dijalankan mendapati tangkapan dilakukan oleh polis Sungai Golok ketika kesemua suspek baru selesai berhibur di sebuah pusat hiburan, yang terletak di bahagian bawah sebuah hotel.
“Kesemua suspek yang ditahan telah naik ke tingkat atas hotel untuk berehat, namun difahamkan turut terdapat dua individu yang tidak dikenali berada di dalam bilik hotel tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut sumber itu lagi, kesemua suspek berjaya ditahan oleh sepasukan anggota polis daripada Bahagian Narkotik Balai Polis Sungai Golok, tetapi dua lagi individu yang tidak dikenali itu berjaya melepaskan diri.
“Hasil pemeriksaan di dalam bilik tersebut telah menemukan kira-kira 6,000 biji pil dipercayai pil kuda dan kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata dua daripada suspek yang ditahan, dipercayai memasuki Thailand menggunakan pangkalan haram Gergaji dekat Rantau Panjang, Pasir Mas, manakala empat lagi menggunakan laluan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
“Setakat ini kesemua suspek yang ditahan tidak membuat sebarang pengakuan memiliki dadah tersebut.
“Pihak polis Sungai Golok telah membuka kertas siasatan ke atas kesemua suspek dan akan dibawa ke Mahkamah Narathiwat untuk tindakan perundangan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi mengesahkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis tempatan dari Kelantan, ditahan dalam serbuan tersebut. - BERNAMA