JOHOR BAHRU, 12 November - Seorang pemilik syarikat kutipan bahan buangan pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi suapan RM2,000 kepada Pembantu Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), dua tahun lalu.
Tertuduh, Wong Teck Siong, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, Wong didakwa secara rasuah memberi suapan tersebut sebagai dorongan untuk tidak diambil tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan membuang sampah dan sisa industri di tempat tidak dikhaskan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Nusa Duta, Johor Bahru, pada 2 November 2023, yang merupakan perbuatan melanggar Seksyen 109 Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Tertuduh turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan, iaitu memberi suapan wang tunai RM2,000 kepada individu sama sebagai balasan untuk tidak diambil tindakan penguatkuasaan atas kesalahan di lokasi serta masa sama.
Pertuduhan pilihan itu dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan dua syarat tambahan.
Tarikh sebutan semula kes pada 21 November ini.