KUALA LUMPUR, 11 Julai- Seorang lagi suspek kes buli siber terhadap pempengaruh media sosial, A Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha di media sosial TikTok ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Sentul, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, suspek lelaki, 44, yang bekerja sebagai pemandu lori, ditahan kira-kira pukul 6.30 petang semalam di sebuah lokasi di Setapak.
Dalam pada itu, tempoh reman ke atas seorang wanita iaitu suspek pertama kes berkenaan disambung sehingga esok.
Wanita tempatan bekerja sebagai pembantu rumah jagaan orang tua itu ditahan di Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung Golf Resort, Rawang, Selangor, Isnin lalu.
Tangkapan ke atas kedua-dua suspek ekoran satu laporan dibuat oleh seorang lelaki, 39, pada pukul 4.13 petang, Sabtu lalu berhubung ugutan diterima Esha menerusi aplikasi TikTok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).
Media sebelum ini melaporkan Esha, 30, ditemukan meninggal dunia di sebuah kondominium di Setapak pada Jumaat lalu dipercayai ada kaitan dengan tekanan dihadapinya kerana menjadi mangsa buli siber.
Mendiang sempat membuat satu laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya di Balai Polis Dang Wangi pada 4 Julai lalu dan laporan tu dipindahkan ke Polis Daerah Sentul untuk siasatan.
Polis kemudian meminta mendiang menghadirkan diri ke balai polis untuk dirakam keterangan, namun dia ditemukan meninggal dunia keesokannya.