ALOR SETAR, 13 Februari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah menahan reman seorang pegawai penguat kuasa di Kedah kerana disyaki terlibat menerima rasuah bagi melupuskan minyak diesel bernilai RM87,400 bawah harga pasaran.
Perintah reman selama tujuh hari hingga 19 Februari depan terhadap suspek dikeluarkan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, hari ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 50-an itu telah ditahan kira-kira pukul 4.00 petang semalam ketika hadir untuk memberi keterangan di SPRM Kedah.
Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2025 dengan menerima rasuah sebagai dorongan untuk melupuskan 46,000 liter minyak pada harga bawah pasaran iaitu RM1.90 per liter berbanding harga pasaran yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu RM2.95 per liter.
Pelupusan tersebut dilakukan ke atas minyak yang merupakan rampasan hasil daripada tindakan penguatkuasaan melibatkan kesalahan dibawah seksyen 115(1)(c) Akta Kastam 1967.
Namun hanya 30,000 liter diikrarkan sebagai pelupusan.
Manakala bakinya disyaki dilupuskan tanpa diikrarkan dengan menerima rasuah berjumlah RM30,400 yang dibayar secara tunai.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.