fb fb fb fb fb

PDRM kesan waran tangkap palsu di aplikasi WhatsApp dan Telegram

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa

KUALA LUMPUR, 31 Januari- Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini memaklumkan pihaknya mengesan elemen penipuan yang menggunakan modus operandi menghantar mesej waran tangkap palsu kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp dan Telegram.

Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa menerusi satu kenyataan berkata, waran tersebut didakwa dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Putrajaya bertajuk 'Unit Khas Pasukan B-19 JSJK'.

Beliau berkata waran itu kononnya dikeluarkan kepada PDRM untuk mengambil tindakan segera bagi menahan pesalah dan kesalahan yang dinamakan dalam tempoh 24 jam.

“Isi kandungan waran tangkap itu juga menyatakan Mahkamah Tinggi memberi kuasa kepada PDRM untuk melaksanakan arahan tersebut dan pesalah yang ditahan tidak dibenarkan untuk diikat jamin oleh mana-mana pihak termasuk peguam.

“Selain itu, aset yang didaftarkan atas nama pesalah juga akan dibekukan dan disita serta tidak dibenarkan untuk meninggalkan negara setelah tindakan diambil,” katanya.

Rohaimi menegaskan, pihaknya tidak pernah menerima waran itu dan ia merupakan antara elemen penipuan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengikuti arahan yang diterima melalui mesej itu atau individu tidak dikenali.

“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihat untuk lebih berwaspada dan tidak mudah percaya kepada penerimaan sebarang dokumen yang tidak dipastikan kesahihannya.

“Lakukan semakan dengan agensi berkaitan sebelum mengambil keputusan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau pengesahan berkaitan kewujudan modus operandi baharu penipuan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau CCID infoline di talian 013-2111 222.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE