fb fb fb fb fb

Operasi Sky, SPRM beku 98 akaun bernilai RM22.07 juta

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya / Foto Bernama

PUTRAJAYA, 21 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan 98 akaun milik syarikat dan individu yang bernilai RM22.07 juta melalui Operasi Sky.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya memaklumkan 21 individu telah ditahan untuk membantu siasatan, termasuk lapan pengarah dan pegawai syarikat, 12 pegawai bank, serta seorang orang awam yang bertindak sebagai ejen.

“Sindiket ini melibatkan lima hingga enam bank yang beroperasi di Malaysia, dengan jumlah pinjaman bernilai RM700 juta,” katanya pada sidang media, di sini.

Menurut Ahmad Khusairi, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan berkaitan kes tersebut.

“Kita juga sedang menyiasat kes lain melalui Ops Trust, di mana sebuah syarikat menggunakan unit amanah untuk menerima pelaburan, namun pelaburan tersebut diselewengkan untuk kepentingan peribadi. Ini adalah dua contoh kes melibatkan aspek kewangan dan perbankan yang diketengahkan kepada masyarakat,” jelasnya.

Tambah Ahmad Khusairi, kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17A(a) Akta SPRM 2009, Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN