fb fb fb fb fb

OP Noda: 85 wanita, 6 mak nyah GRO warga asing ditahan

KUALA LUMPUR, 16 Oktober- Polis mengesahkan penahanan 91 pelayan pelanggan (GRO), enam daripadanya mak nyah dalam serbuan di pusat hiburan di Johor Bahru pada 12 Oktober lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman (Siasatan dan Perundangan) Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian D7 (Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism) JSJ Bukit Aman jam 12.45 tengah malam, Khamis lalu.

Beliau berkata serbuan dilakukan di Taman Tampoi Indah dengan fokus operasi adalah bagi membendung kegiatan aktiviti haram menggajikan wanita warga asing sebagai GRO.

"Dalam serbuan itu, kami menahan 99 individu membabitkan 82 wanita warga Thailand, dua wanita Laos serta seorang wanita Vietnam berusia antara 19 hingga 51 tahun bekerja sebagai GRO.

"Kami turut menahan enam lelaki warga Thailand yang juga pondan berperanan sebagai GRO dalam serbuan berkenaan.

"Selain itu, kami menahan tiga lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengurus, pembantu pengurus serta juruwang dan lima lelaki warga Bangladesh berperanan sebagai pelayan berusia antara 21 hingga 45 tahun," katanya.

Jelas Datuk Rusdi, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(C) akta sama, Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98.

Katanya, polis turut memeriksa 69 pelanggan membabitkan 48 lelaki tempatan, lapan lelaki warga Singapura, lima lelaki warga Thailand, dua lelaki warga China, dan dua wanita tempatan serta dua wanita Singapura.

"Pusat hiburan ini terletak di kawasan rumah tingkat empat tingkat yang beroperasi bermula pukul 8 malam hingga 4 pagi setiap hari, menjalankan perniagaan berkonsepkan pusat hiburan, kugiran serta kalungan bunga. Terdapat dua bilik karaoke di bahagian atas yang dikenakan bayaran sebanyak RM3,000 bagi setiap bilik.

"Malah, pusat hiburan itu turut menyediakan perkhidmatan GRO dengan bayaran bagi satu setiap kalungan bunga bermula pada harga RM100 hingga RM30,000.

"Hasil semakan ke atas semua GRO mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang permit kerja yang sah,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, pagi tadi.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah D7 (Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism) JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dan Ketua Penolong Pengarah D3 (Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus.


(Datuk Rusdi Mohd Isa (TENGAH) ketika sidang media di Bukit Aman)

Media Baharu