fb fb fb fb fb

Op Bersepadu: Imigresen Kelantan tahan 36 pendatang tanpa izin

FOTO FAIL

KOTA BHARU, 12 Oktober - Sejumlah 36 pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan, pada Khamis lepas.

Timbalan Pengarah Imigresen Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman dalam kenyataan berkata, kesemua mereka ditahan dalam Op Bersepadu sekitar Ketereh hasil kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan penguatkuasa Majlis Daerah Ketereh-Perbandaran Islam.

"Bertindak hasil risikan dan maklumat, pasukan operasi menjalankan pemeriksaan terhadap warga asing di Kampung Chenderong Beta, Kampung Kubang Tin dan sebuah asrama di Kedai Mulong serta beberapa rumah sekitar Melor di sini," kata Nik Akhtarulhaq.

Beliau berkata kesemua warga asing yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Nik Akhtarulhaq berkata pemeriksaan mendapati kebanyakan warga asing terbabit memiliki kenderaan serta memandu dan menunggang tanpa lesen sah.

Beliau berkata susulan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan ((PJ) Kelantan turut menyita kenderaan terbabit.

TETITIA YUSOFF