IPOH, 2 Disember - Polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun selepas satu objek menyerupai bom ditemui di sebuah kedai runcit 24 jam di Manjung Point, Sitiawan, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Manjung, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Hasbullah Abd Rahman, berkata kejadian berlaku pada pukul 10.30 malam apabila seorang pekerja premis menyedari objek mencurigakan itu diletakkan di atas rak makanan.
"Bertindak atas maklumat orang awam, pasukan polis bersama Unit Pemusnah Bom (UPB) IPD Manjung dikerahkan ke lokasi dan lelaki terbabit ditahan di hadapan premis tersebut.
“Siasatan awal mendapati objek berkenaan tidak berfungsi dan tidak mengandungi bahan letupan. UPB mengesahkan ia tidak berbahaya kerana litar elektrik tidak lengkap,” katanya.
Kes kini disiasat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ancaman yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
“Polis memandang serius sebarang ancaman keselamatan dan akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap individu yang cuba mengganggu ketenteraman awam,” tambahnya.