fb fb fb fb fb

MTL: APM Kedah kenal pasti 260 kawasan risiko banjir

 

ALOR SETAR, 23 Oktober- Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah mengenal pasti kira-kira  260 kawasan berdepan risiko banjir di negeri itu  sepanjang musim monsun timur laut (MTL) ketika ini.

Kawasan tumpuan berisiko tersebut melibatkan dua lembangan sungai iaitu Lembangan Sungai Kedah dan Lembangan Sungai Muda.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata, kawasan tersebut melibatkan daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena yang berada di lembangan Sungai Kedah selain Kuala Muda, Baling dan Sik di lembangan Sungai Muda.

 APM turut meletakkan anggota bagi memantau keadaan sungai  yang mencatatkan peningkatan paras bahaya dan waspada terutama di kawasan penempatan penduduk.

"Sebanyak 38 aset darat dan juga 85 aset airtelah pun kita siapkan untuk menghadapi bencana pada kali ini.

"Selain itu kita juga telah membuat persiapan dari segi mesyuarat penyelarasan bersama dengan pegawai-pegawai APM Negeri Kedah bagi membincangkan berkaitan dengan penambahbaikan operasi,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau paras air Sungai Anak Bukit yang terletak di Lembangan Sungai Kedah.

Lima sungai yang berada  trend  bahaya adalah Sungai Anak Bukit dan Sungai Naka,  Sungai Janing dan Sungai Pendang pada paras waspada dan Sungai Laka paras amaran.
 
Beliau turut menasihatkan orang ramai  berhati-hati ketika mengunjungi kawasan air terjun terutama yang berisiko berlaku kejadian kepala air ketika musim MTL kali ini.

Penduduk  dinasihatkan berpindah segera  bagi mengelak insiden tidak diingini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE