fb fb fb fb fb

MCMC akan panggil Meta, jelaskan isu iklan penipuan

Foto fail

PUTRAJAYA, 8 November -Syarikat Meta akan dipanggil bagi memberi penjelasan rasmi susulan pendedahan agensi berita Reuters bahawa syarikat itu meraih keuntungan daripada iklan berkaitan penipuan dan perjudian dalam talian.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya memandang serius laporan berkenaan yang disifatkan sebagai isu pelanggaran kepercayaan awam dan undang-undang negara sekiranya terbukti benar.

"MCMC berkongsi kebimbangan yang disuarakan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, dan akan memulakan siasatan terhadap perkara ini," menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya itu turut mendedahkan bahawa bagi tempoh 1 Januari hingga 4 November 2025, sebanyak 157,208 permintaan penurunan kandungan iklan aktiviti menyalahi undang-undang dan 44,922 permintaan berkaitan iklan penipuan telah dikemukakan kepada Meta dan ia jumlah tertinggi berbanding platform lain.

Bagi tempoh sama, MCMC hanya mengemukakan 3,956 permintaan kepada TikTok, 269 (Telegram), 11 (X) dan 45,448 (YouTube) untuk isu sama.

"MCMC telah menasihati Meta supaya mengambil langkah lebih proaktif membanteras penipuan dan perjudian dalam talian kerana tindakan sedia ada masih belum mencukupi," menurut suruhanjaya itu.

Semua platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet perlu dilesenkan secara sah serta membuktikan keberkesanan sistem mereka dalam mencegah aktiviti haram.

"Sekiranya terdapat bukti bahawa mana-mana platform bersubahat atau membantu aktiviti menyalahi undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan undang-undang negara," menurut MCMC.

TETITIA YUSOFF