fb fb fb fb fb

Maritim Pahang tahan bot bersama dadah

Bot jenis gentian kaca tanpa nombor pendaftaran ditahan Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan rutin di perairan Pahang, semalam.

KUANTAN, 26 Januari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot bersama lapan paket plastik lut sinar berisi serbuk ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine di kedudukan kira-kira 2.8 batu nautika barat daya Kuala Kuantan, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot jenis gentian kaca tanpa nombor pendaftaran itu dikesan sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju ke Sungai Kuantan.

Katanya, pemandu bot bertindak memecut laju bot terbabit menuju kawasan pokok bakau berhampiran Pulau Biawak dan melarikan diri meninggalkan bot selepas menyedari kehadiran anggota Maritim.

“Hasil pemeriksaan, kita menemukan wang tunai sebanyak RM198, sebuah telefon peribadi dan beberapa dokumen pengenalan diri yang mencurigakan.

"Nilai keseluruhan rampasan yang dianggarkan bernilai hampir RM50,000 telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya.

Kamal berkata kes disiasat bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sebarang aduan, salah laku dan kemalangan atau kecemasan di laut orang ramai boleh melaporkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang melalui talian 09- 5717345 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

ZEHRA BINTI ZAMBRI