fb fb fb fb fb

Lelaki didenda RM250, ceroboh landasan LRT

Mahkamah Kuala Lumpur/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Januari - Seorang pengumpul besi buruk didenda RM250 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh kawasan landasan Transit Aliran Ringan (LRT), semalam.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu ke atas Wong Han Chuan, 43, dan memerintahkan tertuduh dipenjara tiga minggu jika gagal membayar denda.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Stesen LRT Chan Sow Lin, Wangsa Maju di sini pada 3.35 petang mengikut Seksyen 62 Akta Keretapi 1991 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Peguam Simret Singh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Wong memohon denda minima atas alasan anak guamnya masih bujang tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengumpul besi buruk untuk dikitar semula. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN