KOTA BHARU, 15 Oktober- Sebanyak 172 pangkalan haram telah dikenal pasti di sepanjang Sungai Golok yang memisahkan Kelantan dan Thailand melibatkan empat daerah dipercayai menjadi pintu masuk bagi kegiatan penyeludupan termasuk dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin memaklumkan daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli merupakan kawasan sering menjadi tumpuan.
"Pasir Mas dan Tumpat merekodkan bilangan pangkalan haram paling banyak dan aktif. Kawasan-kawasan ini menjadi 'hot spot' dan kita akan memberi tumpuan penuh untuk mengekang penyeludupan dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai dadah jenis fentanil, beliau memaklumkan tiada sebarang aktiviti penyalahgunaannya dikesan di Malaysia setakat ini.
Hasil risikan dan maklumat juga mendapati dadah berkenaan tidak wujud dalam negara dan tiada sebarang rampasan dibuat setakat ini.
Dalam pada itu, Polis Kelantan berjaya membongkar kegiatan penyeludupan dadah setelah merampas hampir 5.6 juta biji pil yaba (652.4 kilogram) serta 2.6 kilogram dadah jenis heroin bernilai lebih RM49 juta di Jalan Pasir Mas-Salor di sini.
Serbuan dilakukan oleh pegawai dan anggota JSJN Kelantan di sebuah rumah pada 9.05 malam, Isnin lalu. Seorang lelaki berusia 32 tahun turut ditahan dalam serbuan tersebut.
"Kami percaya bahawa pasaran utama adalah di Pantai Timur, dan rumah tersebut digunakan sebagai lokasi transit untuk menyimpan dadah.
"Dadah ini hanya disimpan untuk tempoh singkat disebabkan permintaan yang sangat tinggi," tambahnya.
Siasatan awal mendapati bekalan dadah diperoleh dari negara jiran sebelum ditransit di rumah terbabit. Dadah tersebut kemudiannya dihantar dengan bayaran upah RM100 bagi setiap pek yang mengandungi 2,000 biji pil yaba.
Sindiket tersebut dipercayai telah beroperasi sejak Jun lalu dan dadah berkenaan mampu digunakan oleh 6.78 juta penagih jika tidak berjaya dicekup.
Chin berkata, suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau ditahan reman selama seminggu dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis benzo.
Kes itu disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan dalang sindiket dan beberapa individu yang terlibat telah dikenal pasti, jelas Chin.