IPOH, 9 November -Lapan lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan perlombongan bitcoin haram di sekitar Taman Lagenda dekat Teluk Intan, semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata, penahanan itu hasil tindakan susulan operasi khas pada 5 November lepas bagi membanteras kegiatan tersebut.
Beliau berkata pihaknya turut merampas tiga kenderaan pacuan empat serta 40 unit mesin perlombongan bitcoin yang dipercayai digunakan dalam kegiatan mencuri arus elektrik.
"Hasil soal siasat mendapati kesemua suspek berusia antara 17 hingga 44 tahun mengaku terlibat dalam kegiatan tersebut.
"Lima daripada lapan suspek mempunyai rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan manakala tiga lagi tidak mempunyai sebarang rekod," katanya dalam kenyataan.
Kesemua suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi siasatan bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.