DUNGUN, 17 Julai – Seorang lelaki berusia 43 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah di kawasan perumahan Taman Madani, berdekatan tapak projek perumahan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Bandar Al-Muktafi Billah Shah, petang tadi.
Mangsa yang merupakan seorang kontraktor berasal dari Kuala Lumpur itu ditemui terbaring di atas tanah kira-kira pukul 3.15 petang, di sebelah pintu penumpang hadapan kenderaan pacuan empat roda miliknya.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa dipercayai telah bekerja di tapak pembinaan berkenaan sejak sebulan lalu dan menyewa di sebuah rumah berhampiran kawasan tersebut.
Menurut beliau, penemuan mayat dimaklumkan oleh beberapa pekerja pembinaan selepas mereka menyedari enjin kenderaan mangsa masih hidup dan tidak dimatikan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat beberapa kesan luka, dipercayai kesan kelar, pada leher dan tangan mangsa. Sebilah pisau pemotong kertas turut ditemukan berhampiran telinga kiri mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Unit forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu yang menjalankan siasatan lanjut mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah ditemukan pada tubuh mangsa.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk proses bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.