ALOR SETAR, 5 Januari - Seorang bekas pegawai daerah di Kedah direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri susulan memberi keterangan bercanggah dalam kes perbicaraan yang melibatkan seorang Ketua Bahagian Kejuruteraan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Suspek disyaki memberikan keterangan yang tidak selaras semasa perbicaraan berhubung tuduhan terhadap Ketua Bahagian Kejuruteraan berkenaan pada Disember 2021.
Tuduhan itu melibatkan pelantikan syarikat milik saudara terdekat suspek untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan.
Perintah reman selama dua hari terhadap suspek, sehingga esok, dikeluarkan Majistret Eliana Ismail selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi tadi.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam (Ahad) ketika hadir untuk memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.
Siasatan awal mendapati keterangan yang diberikan suspek di mahkamah tidak selaras dengan keterangan bertulis yang diserahkan di pejabat SPRM pada masa sama.
Ketika keterangan asal diambil pada tahun 2021, suspek berkhidmat sebagai Setiausaha Majlis Perbandaran Kulim.
Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong, mengesahkan penahanan tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 27(2) Akta SPRM 2009.