KEMAMAN, 5 Januari - Seorang bekas jurutera mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini atas pertuduhan memiliki peralatan yang digunakan bagi tujuan mencetak dan memalsukan wang kertas pada Disember tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Faisal Mohd Shahrani, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki beberapa peralatan termasuk sebuah mesin fotostat berwarna jenama Toshiba, sebuah komputer riba jenama Dell serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk memalsukan 359 keping wang kertas RM50 yang mempunyai nombor siri sama, iaitu PC9192656.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman, pada kira-kira pukul 6 petang, 29 Disember lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 19 Januari ini untuk sebutan semula fakta kes dan tarikh jatuh hukum.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Asyikin Hashim.