JOHOR BAHRU, 10 Januari- Pasangan kekasih gelap berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke tiga Mahkamah Majistret Johor Bahru, atas enam tuduhan mengedar dan memiliki dadah, akhir tahun lalu.
Di hadapan Majistret A Shaarmini, tertuduh, Noor Haimi Ayhari, 49 tahun dan warga Singapura, Nur Anne Mohd Hussin, 38 tahun, didakwa dengan dua pertuduhan mengedar 62 gram syabu dan 39.4 gram kanabis.
Perbuatan didakwa dilakukan di sebuah pangsapuri Country Garden, Taman Damansara Aliff Johor Bahru, kira-kira pukul 4.15 pagi, 31 Disember lalu.
Selain itu, di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, mereka didakwa mengedar 510 gram ganja di pangsapuri Seri Impian, Jalan Larkin Perdana 1, Johor Bahru, sekitar 6.20 pagi, tarikh sama.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan terbabit, tiada pengakuan direkodkan.
Di hadapan Majistret R Salini pula, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan memiliki 14 gram nitrazepam, 4.1 gram serbuk ekstasi dan 3.8 gram heroin.
Kes-kes didakwa mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Pihak mahkamah kemudiannya menetapkan 10 Mac depan untuk tarikh sebutan semula bagi setiap kes, dengan tiada sebarang jaminan dibenarkan.
Dalam prosiding sama, Noor Haimi dan Nur Anne turut mengaku tidak bersalah secara berasingan di hadapan Salini dan Shaarmini atas tuduhan memberikan dadah syabu ke dalam badan mereka.
Perbuatan didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Johor Bahru, pukul 10.13 pagi, pada 31 Disember lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pada masa sama, warga Singapura, Nur Anne turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu dengan sengaja menghalang tugas penjawat awam, membabitkan dua anggota polis.
Kesalahan didakwa berlaku di tepi jalan Persiaran Aliff Harmoni, Taman Damansara Aliff, Johor Bahru, pada pukul 1 pagi, tarikh sama.
Dia yang mengaku tidak bersalah di hadapan Shaarmini didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.
Kes-kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Februari dan 10 Mac depan, bagi serahan dokumen dan sementara menunggu laporan patologi.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nik Noratini Nik Azman, Nor Afiqah Musa dan Siti Aishah Latif, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada sebarang jaminan dibenarkan memandangkan kedua-dua mereka mempunyai pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.