fb fb fb fb fb

Kes Bella: Tiga direman bantu siasatan penemuan rangka

Kawasan penemuan rangka manusia di Batu Pahat, Johor, semalam.

BATU PAHAT, 20 Januari- Polis menahan reman tiga individu bagi membantu siasatan kes penemuan rangka manusia dalam sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di sini, semalam.

Tiga mereka berusia berusia 24 hingga 39 tahun itu direman selama seminggu sehingga 27 Januari ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau memaklumkan, sampel patologi dari Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru telah dibawa ke Jabatan Kimia untuk dianalisa bagi membuat perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan mengenal pasti identiti si mati.

Pagi tadi, bedah siasat ke atas rangka tersebut sudah dijalankan di Jabatan Forensik HSI Johor Bahru.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ujian DNA akan dilakukan bagi mengenal pasti rangka yang ditemukan itu milik ibu tunggal, Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella.

Rangka terbabit ditemukan pada pukul 2.00 petang selepas suspek dibawa ke lokasi kejadian.

SITI AISHAH BINTI MD ISA