SINTOK, 9 November - Polis serta agensi penguatkuasaan sedia mempertingkat kawalan keselamatan di perairan Langkawi, bagi mengekang insiden bot karam berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand, berulang.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah memaklumkan, pihaknya juga akan meningkatkan rondaan sekitar Teluk Ewa dan lokasi berdekatan.
Dalam masa sama, penduduk tempatan diminta melaporkan kepada pihak berkuasa, sekiranya terjumpa mangsa bersembunyi atau terdampar.
Berdasarkan maklumat awal, sebuah kapal yang membawa pendatang asing tanpa izin pelbagai warganegara, telah karam ketika menghampiri perairan negara.
Setakat ini, 10 warga Myanmar, Bangladesh dan etnik Rohingya serta satu mayat wanita etnik Rohingya ditemukan.
"Siasatan lanjut masih dijalankan kerana maklumat yang diberi sedikit berbeza. Pertukaran bot turut dilakukan bagi mengelak dikesan dan ditahan pihak berkuasa", katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia, (UUM) Ke-38 di sini, hari ini.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan sindiket memilih Langkawi sebagai destinasi untuk membawa kesemua pendatang asing tanpa izin.