fb fb fb fb fb

Kapal korek pasir China berlabuh tanpa kebenaran ditahan

Sebuah kapal korek ditahan pada kedudukan 14.8 batu nautika barat laut, Tanjung Hantu, Perak pada jam 3.10 petang semalam/ Foto: APMM Perak

LUMUT, 2 Julai- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan sebuah kapal korek pasir dekat Tanjung Hantu, Segari, dekat sini petang semalam.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata kapal korek itu dikesan pada kedudukan 14.8 batu nautika barat laut Tanjung Hantu, kira-kira pukul 3.10 petang.

“Pemeriksaan mendapati, kapal korek itu dikendalikan oleh seorang nakhoda dibantu oleh 47 kru yang terdiri daripada 20 kru warga China, 26 kru warga Bangladesh dan seorang kru warga Malaysia berumur dalam lingkungan 21 hingga 68 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal korek tersebut gagal mengemukakan dokumen asal kapal, port clearance dan seorang kru tidak mempunyai nama dalam senarai kru kapal,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohamad Shukri turut memaklumkan pihaknya menemukan 60 tong gas LPG memasak 14 kilogram berwarna kuning tanpa dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dianggar bernilai kira-kira bernilai RM9,000.

Beliau berkata kesemua kru dan kapal ditahan untuk siasatan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen asal kapal, port clearance dan seorang kru tiada dalam senarai nama kru kapal serta Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana tiada dokumen yang sah bagi membawa barangan kawalan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI