fb fb fb fb fb

JPJ gesa bayar saman, elak risiko senarai hitam

Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Disember - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan pemilik kenderaan supaya segera merebut peluang tawaran saman MADANI JPJ bawah Program Rancakkan MADANI menawarkan diskaun saman 50 peratus yang berbaki lima hari sahaja lagi sebelum tempoh tersebut berakhir pada 30 Disember ini.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kegagalan menjelaskan saman tertunggak akan menyebabkan pemilik kenderaan berdepan tindakan tegas termasuk disenaraihitamkan secara serta-merta bermula 1 Januari 2026.

Setakat semalam, sebanyak 702,606 notis saman telah dijelaskan melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM93.51 juta.

Bagaimanapun, angka itu disifatkan masih kecil berbanding jumlah keseluruhan saman yang masih tertunggak iaitu sebanyak 4.7 juta notis dengan nilai mencecah RM1.4 bilion.

"Kita mempunyai kira-kira 4,762,238 notis saman yang masih belum dijelaskan oleh pengguna jalan raya. Nilai tunggakan ini sangat besar, mencecah RM1.428 bilion.

"Sehubungan itu, saya mengambil peluang ini untuk menyeru dan menggalakkan semua pengguna jalan raya yang mempunyai saman tertunggak supaya mengambil peluang dalam tempoh lima hari terakhir ini untuk membuat pembayaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media selepas tamat operasi di ibu negara hari ini.

Datuk Muhammad Kifli menegaskan bahawa tindakan senarai hitam bermula awal tahun 2026 akan menyukarkan pemilik kenderaan bagi urusan pembaharuan lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Diskaun saman yang ditawarkan itu bertujuan membantu meringankan beban rakyat, sekali gus memastikan pangkalan data pesalah jalan raya dikemas kini sebelum penguatkuasaan lebih ketat dilaksanakan pada tahun hadapan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI